KUALA
LUMPUR 18 April - Projek Lestari Permai yang terbengkalai
sejak tiga tahun lalu, kini sedang dalam proses
pengambilalihan oleh IJM Berhad (IJM) daripada Talam
Corporation Berhad (Talam).
Naib Presiden Bahagian Khidmat Pelanggan Talam, Michael Khor
berkata, selepas proses itu selesai, IJM akan menyiapkan rumah
tersebut secepat mungkin.
Beliau mengakui projek yang diuruskan oleh anak syarikat Talam,
Europlus Corporation Sdn. Bhd. kini bermasalah ekoran
kekurangan modal dan pertukaran kontraktor yang menjalankan
kerja-kerja pembinaan.
"Kontraktor lama yang membina rumah di Lestari Permai sudah
ditamatkan kontraknya dan IJM yang mempunyai latar belakang
kewangan yang kukuh berminat untuk mengambil alih projek ini,''
katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia pada Isnin lalu
mengenai nasib para pembeli Lestari Permai yang telah tiga
tahun menanti untuk rumah mereka disiapkan.
Projek itu sepatutnya disiapkan pada awal tahun 2005 tetapi
setakat ini, sekitar 70 peratus sahaja pembinaan disiapkan.
Michael berkata, persetujuan antara Talam dan IJM dijangka
dapat dicapai dalam masa dua hingga empat minggu lagi.
Sehubungan itu, beliau berharap pembeli bersabar kerana
syarikatnya tidak akan bersikap lepas tangan, sebaliknya
sedang cuba sedaya upaya menyiapkan rumah itu secepat yang
boleh.
"Kami merayu kepada pembeli agar memahami masalah kami dan
memberikan kami sedikit masa memandangkan kesulitan yang
sedang dihadapi oleh kami,'' katanya.
Mengenai tuntutan lewat yang ingin dikemukakan oleh pembeli,
beliau berkata, pihaknya tidak pernah mengugut mereka supaya
menggugurkan tuntutan itu, cuma berharap mereka
mempertimbangkannya.
"Saya tidak mahu pembeli Lestari Permai salah faham, kami cuma
harap pembeli sedia maklum bahawa sekiranya mereka meneruskan
tuntutan itu, projek itu akan berdepan masalah yang lebih
besar lagi kerana kami kekurangan modal buat masa sekarang,''
katanya.
Namun, katanya, kemungkinan untuk pembeli mendapat sebahagian
kecil dari nilai tuntutan lewat itu tetap ada tetapi
bergantung kepada keadaan.
Katanya, faktor peningkatan kos bahan binaan seperti keluli,
pasir dan simen turut membebankan pihaknya dalam usaha untuk
mempercepatkan pembinaan rumah di Lestari Permai.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam UMNO, Datuk Subahan
Kamal bersedia membantu pembeli-pembeli Lestari Permai
menyelesaikan masalah mereka.
Katanya, beliau berharap mereka datang bertemu dengannya untuk
membincangkan masalah berkenaan.
"Saya telah sedia maklum mengenai masalah yang dihadapi oleh
mereka apabila membaca Utusan Malaysia, namun saya mahukan
maklumat yang lebih jelas sebelum dapat bertindak,'' katanya.
Beliau mahu pembeli-pembeli rumah di Lestari Permai mendapat
keadilan dan hasrat mereka memiliki rumah sendiri tercapai.