IJM Plantations Bhd (IJM) tidak pernah melupakan tanggungjawab sosialnya terhadap pekerja ladang di bawah seliaan syarikat peladangan itu apabila mewujudkan satu perkampungan baru yang serba lengkap di Desa Talisai, Sabah.

Jika dilihat, perkampungan ini tidak jauh bezanya daripada perkampungan lain di negara ini. Namun, apa yang uniknya, Desa Talisai dibangunkan semata-mata untuk memberi kemudahan kepada pekerja di ladang sawit berkenaan.

Terletak di Sugut iaitu kira-kira 70 kilometer dari Sandakan, Sabah, Desa Talisai adalah ladang kelapa sawit pertama dibangunkan IJM di negeri itu pada sekitar 1987 dan kini mempunyai lebih 2,000 pekerja, termasuk ahli keluarga yang tinggal di situ.

Mempunyai keluasan keseluruhan kira-kira 4,000 hektar, Desa Talisai yang merangkumi dua ladang, iaitu Desa Talisai Utara dan Selatan dibangunkan secara tersusun untuk memberi keselesaan kepada pekerjanya.

Penyediaan prasarana yang lengkap seperti perumahan dan kemudahan asas lain di ladang milik IJM bukan saja dapat membantu pekerja menikmati kualiti hidup lebih bermutu, malah pada masa sama mampu meningkatkan produktiviti di kalangan pekerja terbabit.

Penyediaan rumah papan berkonsep separuh berkembar dengan tiga bilik tidur lengkap dengan kemudahan asas serta halaman yang luas untuk pekerja ladang dan kakitangan IJM juga dilihat sebagai usaha menjadikan Desa Talisai sebagai perkampungan contoh di kawasan ladang sawit.

Antaranya bekalan air, elektrik, klinik, kedai runcit dan taman asuhan yang dikenali ‘Creche’, pastinya memberi keselesaan kepada pekerja dan keluarga mereka untuk menikmati kualiti hidup lebih baik.

Pada masa sama, IJM juga membina kemudahan beriadah bersukan seperti penyediaan gelanggang badminton serta padang bola sepak untuk memastikan pekerja ladang selesa tinggal di kawasan terbabit.

Pelbagai program turut dianjurkan, antaranya pertandingan landskap dan mencantikkan kawasan rumah serta mengadakan sukan antara ladang bukan saja untuk mengelak mereka berasa terpinggir, malah memberi ruang dan peluang kepada pekerja berinteraksi sesama pekerja di ladang berhampiran.

Walaupun berada jauh di kawasan ladang, tidak bermakna, pendidikan anak pekerja ladang Desa Talisai diabaikan. Buktinya, pelbagai pendekatan dilaksanakan IJM untuk memastikan kanak-kanak ini tidak terpinggir dalam menuntut ilmu.

Pembinaan sekolah yang beroperasi bulan ini bakal menempatkan seramai 160 anak pekerja dari Tahun Satu hingga Enam, sekali gus memberi gambaran sebenar bahawa IJM sentiasa berusaha memastikan golongan muda itu tidak terabai atau ketinggalan daripada arus pembangunan.

Pengurus Besar IJM Sabah, Joseph Tek Choon Yee, berkata pihaknya sudah mendapat kebenaran Kementerian Pelajaran untuk mengguna pakai silibus kementerian untuk diajar secara percuma oleh sukarelawan daripada ‘Borneo Child Society’.

“Mereka ini akan menjadi tenaga pengajar kanak-kanak berkenaan. Kita sudah mendapat kebenaran kementerian dan sukarelawan ini juga sudah diberikan latihan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, sekolah yang didirikan itu hanya untuk murid Tahun Satu hingga Enam dan apabila tamat pada peringkat rendah, kanak-kanak terbabit akan dipindahkan ke sekolah kerajaan berdekatan ladang itu di Sijas untuk ke Tingkatan Satu.

“Kita menyediakan bas sekolah untuk membawa anak ini ke sekolah di Sijas kerana sekolah itu yang paling dekat dengan Desa Talisai. Semuanya kita tanggung kecuali pakaian dan buku, yang ditanggung ibu bapa.

“Kita mementingkan pendidikan dan tidak mahu mereka (ibu bapa) menjadikan alasan tinggal jauh di kawasan ladang untuk mengabaikan pendidikan anak,” katanya.

Beliau ditemui pada program lawatan ke ladang dan kilang kelapa sawit di Ladang Sijas, Beluran dan Sugut, Sandakan bersama media anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) ke situ, baru-baru ini.

Tek berkata, perkampungan Desa Talisai adalah program perintis dan akan dijadikan modul kepada perkampungan lain di kawasan ladang milik IJM pada masa depan.

“Penyediaan prasarana lengkap seperti sekolah, tadika, kedai runcit dan sistem komunikasi di kawasan ladang adalah penting untuk memberi kemudahan kepada pekerja selain membantu mereka menikmati kehidupan lebih berkualiti seperti di kawasan luar,” katanya.

Katanya, IJM mempunyai 11 ladang di Sabah dengan lima dari ladang berkenaan terletak di Sandakan dan enam lagi di Sugut berikrar terus menyediakan pelbagai kemudahan awam kepada pekerjanya, setanding dengan perkampungan lain di negara ini.

“Kita mahu ladang milik IJM, terutama di Desa Talisai menjadi model kepada penempatan yang turut diwujudkan di kawasan ladang. Walaupun tidak secanggih kampung lain, tetapi dari segi kemudahan awam, kita yakin Desa Tarisai tidak jauh ketinggalan.

“Walaupun mereka tinggal jauh di kawasan ladang, tidak bermakna mereka terpinggir dari segi pembangunan dan tidak mengetahui apa yang berlaku di luar sana. Corak kehidupan mereka tetap sama.

“Sebagai contoh, rumah pekerja mempunyai bekalan air dan elektrik untuk kegunaan seharian. Seperti kediaman lain, rumah mereka juga mempunyai televisyen, peti ais, termasuk kemudahan Astro,” katanya.